Komuniti TradingView baru-baru ini telah menjadi sasaran gelombang penipuan canggih yang membabitkan saluran YouTube palsu yang menyamar sebagai TradingView. Penipuan-penipuan ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan kepada jenama kami, tetapi juga meletakkan dompet mata wang kripto dan data peribadi pengguna pada risiko yang serius.
Sebelum kami menjelaskan lebih mendalam, sila pastikan anda melanggan Saluran YouTube rasmi TradingView — ia membantu anda mengenalpasti penipu dan kekal selamat. Ini merupakan satu-satunya saluran rasmi aktif kami — pastikan anda tidak terpedaya dengan penyamar.
Bagaimana penipuan dilakukan
Penipu mencipta saluran YouTube meyakinkan yang kelihatan seperti akaun TradingView rasmi, selalunya menggunakan saluran yang dicuri atau dirampas dengan pangkalan pelanggan besar dan logo diiktiraf. Kemudian ini berlaku.
- Saluran-saluran ini memuatkan video atau strim langsung, yang kadang-kala mengandungi personality deepfake atau pelakon berbayar dan mengarahkan penonton untuk memuat turun apa yang didakwa sebagai “aplikasi versi pembangun TradingView” atau “versi dipecahkan untuk aplikasi berbayar,” dll.
- Sebenarnya, pautan muat turun membawa kepada skrip hasad — selalunya merupakan arahan Windows PowerShell — yang apabila dijalankan, akan memasang Remote Access Trojan (RAT) pada peranti mangsa.
- RAT memberikan penyerang akses tanpa pengesahan, membenarkan mereka mencuri maklumat sensitif, termasuk maklumat peribadi dompet mata wang kripto dan kemudiannya mengosongkan dana pengguna.
Impak dunia nyata
Mangsa melaporkan kehilangan akses kepada dompet mata wang kripto dan dana mereka selepas mengikuti arahan daripada saluran-saluran palsu ini.
Penipuan-penipuan ini adalah canggih. Penipu selalunya menggunakan video yang kelihatan sah, komen positif dari akaun palsu dan juga meniru kandungan sebenar TradingView untuk kelihatan meyakinkan.
Bagaimana untuk kekal selamat
Ada beberapa perkara untuk diingati yang boleh membantu anda melindungi data anda.
- Langgan saluran YouTube rasmi kami dan jangan menerima apa-apa tawaran dari saluran lain bagi pihak TradingView.
- Jangan memuat turun perisian TradingView dari sumber tidak rasmi. Satu-satunya aplikasi sah TradingView adalah pada laman web kami, di mana anda boleh memuat turun aplikasi mudah alih dan aplikasi Atas Meja TradingView
- TradingView tidak akan pernah meminta anda menjalankan skrip garisan arahan (command-line script) atau arahan PowerShell untuk memasang platform kami. Apa-apa permintaan sebegitu adalah satu tanda amaran.
- Periksa kesahihan saluran YouTube. Saluran YouTube TradingView rasmi kami adalah disahkan dan dipautkan terus dari laman web kami.
- Bersikap skeptikal untuk tawaran “terlalu bagus untuk menjadi kenyataan”. Penipu selalunya menjanjikan hadiah, akses percuma atau dengan diskaun kepada perkhidmatan berbayar Tradingview, akses beta kepada “edisi pembangun” untuk perisian kami, penunjuk dagangan berdasarkan AI percuma dll.
- Laporkan kandungan mencurigakan. Jika anda menjumpai saluran atau video mencurigakan, laporkan kepada YouTube dan beritahu pasukan sokongan kami serta-merta.
Apa yang kami lakukan
TradingView sedang bekerjasama dengan aktif bersama-sama YouTube dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengenalpasti dan menurunkan saluran-saluran penipuan. Kami komited untuk melindungi pengguna kami dan akan terus memberikan kemas kini sepanjang masa situasi ini berjalan.
Jika anda merasakan anda telah menjadi sasaran penipu atau sudah memuat turun fail meragukan:
- Terus memutuskan hubungan peranti anda dengan internet.
- Jalankan imbasan perisian hasad dengan menyeluruh.
- Tukar semua kata laluan, terutamanya untuk dompet kripto dan akaun dagangan anda.
- Hubungi penyedia dompet anda dan pertimbangkan untuk memindahkan dana anda kepada dompet baharu yang lebih selamat.
- Laporkan kejadian kepada penguatkuasa tempatan dan kemudiannya kepada TradingView.
Kekal berwaspada, kekal selamat dan sentiasa melakukan pengesahan sebelum mempercayai sesiapa.
— Pasukan TradingView